Monday 7 March 2011

Sejarah SMK.SANZAC

SEJARAH SMK.SANZAC,KOTA KINABALU

Gabungan bekas perajurit Australia dan New Zealand (Australia, New Zealand Army Corps) atau lebih dikenali dengan singkatan ANZAC telah memohon sebidang tanah seluas 5 ekar daripada Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 1969 untuk membina bangunan sebagai tanda kenangan abadi hubungan erat antara rakyat Sabah dan anggota–anggota tentera ANZAC yang menjadi rakan seperjuangan setia pada masa peperangan. 
Permohonan ini diluluskan sebagai penghargaan atas khidmat dan sumbangan mereka kepada Sabah semasa Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1942-1945.
 Dalam tahun 1969, sebuah bangunan yang mempunyai tujuh buah bilik darjah didirikan di tanah tersebut atas biayaan persatuan ANZAC dan seorang warga tempatan En. Francis Xavier Loh. En. Francis Xavier Loh merupakan seorang usahawan tempatan yang berjaya. Ketika kecil beliau merupakan antara anak tempatan yang rapat dengan askar-askar Australia dan New Zealand yang ketika itu mempunyai markas di tapak sekolah yang ada sekarang. En. Francis Xavier Loh bersama-sama askar-askar Australia mengumpul dana untuk membina bangunan sekolah ini. Askar-askar Australia tersebut mengumpul separuh dari kos dan En. Francis Xavier Loh mengumpul separuh lagi dengan mengadakan antaranya menganjurkan persembahan tarian singa. Sekolah ini pada asalnya dinamakan Anzac College (bangunan ini ialah sebahagian daripada bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac sekarang) dan dengan tujuan memberi peluang kepada anak-anak tempatan yang ingin memasuki aliran Inggeris Rendah.

            Bagaimanapun, memandangkan perkembangan sekolah Menengah Aliran Kebangsaan kian pesat dan mengalami beban penempatan, Kerajaan Negeri telah memohon kepada ANZAC supaya sekolah tersebut digunakan untuk menempatkan pelajar-pelajar aliran kebangsaan yang pada masa itu berjumlah 32 orang dan sedang menggunakan bangunan lama sekolah perdagangan (“Trade School”) dengan memakai nama “Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kinabalu”. Dengan adanya bangunan ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelajaran cuba merealisasikan hasrat untuk mendirikan sebuah Sekolah Menengah Aliran Kebangsaan, sejajar dengan hasrat Kerajaan Malaysia masa itu yang ingin menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah-sekolah. Ekoran daripada penyerahan bangunan ini kepada kerajaan negeri Sabah, maka huruf “S” kemudiannya telah ditambah pada nama bangunan itu menjadikannya sebagai “SANZAC” (akronim kepada Sabah, Australia, New Zealand Army Corps).
     Sehingga akhir tahun 1970, selain bangunan 7  bilik, sekolah ini juga mempunyai  2 gelanggang badminton (terbuka) dan 3 unit garaj kereta. Sambil itu, jalan masuk ke sekolah juga telah dibina. Tanggal 4 Jun 1971 menyaksikan bangunan 7 bilik ini mengendalikan  sekolah 2 sesi dengan bilangan pelajar sejumlah 374 orang bagi kelas Tingkatan 1 hingga 3. Tetapi pertambahan bilangan pelajar telah memaksa pihak sekolah menumpangkan pelajar-pelajar 4 buah kelas Tingkatan 1 di SRK  Tanjung Aru. Pelajar-pelajar ini dididik oleh 30 orang guru yang terdiri daripada anak tempatan Sabah, Semenanjung Malaysia , Indonesia dan Amerika Syarikat.
            Dalam bulan Jun 1972 pihak Kerajaan Negeri menujukkan keperihatinan apabila sekolah ini mendapat tambahan infrastruktur melalui pembinaan 3 blok bangunan yang menyediakan kemudahan 8 bilik darjah, 3 makmal sains, 2 bilik masakan dan jahitan, dewan makan, perpustakaan, kantin dan asrama yang boleh menempatkan kira-kira 128 orang penghuni. Malangnya , infrastruktur yang dijadualkan siap pada bulan Ogos, 1973 ini hanya dapat disiapkan pada tahun 1974. Sedangkan bilangan pelajar terus bertambah dan tidak dapat ditampung oleh  infrastruktur sedia ada.
            Setakat tahun 1973 sahaja, bilangan pelajar sekolah ini telah menjangkau jumlah 680 orang. Tiga buah kelas tingkatan 4 juga mula dirintis. Pertambahan bilangan pelajar tahun berikutnya membuatkan 15 bilik darjah masih tidak dapat menampung bilangan pelajar yang ada. Oleh itu, sejumlah 10 buah kelas tingkatan 1 dan 2 terpaksa ditumpangkan di SRK Tanjung Aru.
            Kumpulan sulung sekolah SANZAC telah  menduduki peperiksaan  Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1971 dengan jumlah 77 orang calon. Selain itu, tanggal 30 Mei 1974, turut menjadi tarikh keramat buat sekolah ini apabila dikunjungi oleh Ketua Menteri Sabah pada masa itu iaitu Y.A.B. Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun untuk merasmikan sekolah ini. Bermula dari saat itu, sekolah diberi nama S.M.K. Sanzac dan beroperasi sebagai sekolah harian biasa.
      Sebagai tanda penghargaan terhadap kumpulan ANZAC yang telah berkhidmat di Sabah serta kesudian mereka untuk menyumbangkan bangunan yang dibina dengan biaya mereka sendiri ini, maka sebuah tugu telah dibina diperkarangan sekolah ini. Tugu ini melambangkan betapa eratnya persahabatan  dan perpaduan diantara Tanah Kanggaru, Bumi Kiwi dan Negeri di Bawah Bayu melalui 3 bendera yang terpahat pada bahagian atas menara ini. Malah, akronim SANZAC sendiri mempunyai erti yang amat  besar sebagai satu lambang persahabatan dan perpaduan antara 3 negara, satu tanda ingatan terhadap sumbangan besar perjuangan soldadu Australia dan New Zealand dalam membantu mendaulatkan negeri ini. SMK Sanzac juga telah menubuhkan Jawatankuasa Anzac yang terdiri dari kalangan guru dan pelajar untuk memastikan ikatan dan hubungan erat antara Sekolah ini dan Anzac tidak akan terputus.
        Kini walaupun S.M.K. Sanzac masih mempunyai keluasan yang sama, tiada penambahan bangunan, tetapi S.M.K. Sanzac telah menampakkan suatu perubahan ketara pada wajahnya. Dengan perubahan pada pagar pintu masuk, kerja-kerja lanskap dan alam sekitar yang intensif seperti pembinaan kolam serta taman-taman kecil, pembinaan astaka mini di padang sekolah, makmal komputer, bilik pejabat yang baru, pembesaran bilik guru dan Projek Kitar Semula Kumbahan Air  Toyota Eco-Youth, S.M.K. Sanzac mula menampakkan diri  sebagai salah sebuah sekolah yang indah. Kemudahan lain dinaik taraf dan dilengkapi dengan peralatan baru agar S.M.K Sanzac lebih kondusif untuk pengajaran & pembelajaran  di samping tempat bertugas yang ceria dan selesa.          Sehingga saat ini, Sekolah Menengah Kebangsaan SANZAC telah dapat berdiri megah  sebagai salah satu lambang ilmu yang terunggul di Negeri Sabah.      


No comments:

Post a Comment